SHAH ALAM, NOVEMBER 17: AMK….Calon ketua Pemuda PKR (AMK) Dr Afif Bahardin hari ini menggemparkan perwakilan Kongres Tahunan AMK dengan mengoyak ‘cai’ (senarai pasukan) pasukan lawan Rafizi Ramli.

Afif, calon kem Timbalan Presiden Azmin Ali, berbuat demikian dalam acara di Shah Alam di hadapan kira-kira 300 perwakilan di Shah Alam.

“Inilah kita pertahankan sepanjang 9 minggu (pemilihan), bukan lagi soal bicara idealisme perjuangan idealisme, siapa yang buat kerja dan tidak buat kerja, siapa yang layak, yang tidak layak.

“Yang penting kertas ini (cai) masuk dan letak di tepi meja (ketika undi).

“Senipis inilah nilai masa depan Keadilan (PKR),” katanya yang kemudian mengoyak senarai yang dipegangnya itu.

Afif yang kelihatan beremosi berkata demikian dalam ucapan penggulungan timbalan ketua Pemuda AMK.

Itu adalah ucapan rasmi terakhir beliau sebelum menyerahkan jawatan kepada penggantinya.

Terdahulu exco kerajaan Pulau Pinang itu mempertikaikan proses pemilihan PKR yang didakwanya mempunyai banyak kelemahan.

Afif kalah dalam pertembungan dengan Akmal Nasir dari kem Rafizi.-MY WD