KUALA LUMPUR, JULAI 13:GPMS…Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) tetap menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang mampu memberi implikasi buruk termasuk mengkucar-kacirkan sistem pendidikan sehingga hilang hala tuju dan masa depan.

Presiden GPMS, Zambri Mohd. Isa berkata, penolakan UEC bukan hanya disebabkan diurus tadbir oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dong Zong , sebaliknya atas beberapa faktor yang perlu dipandang serius oleh kerajaan.

“Sekiranya UEC diterima dan diiktiraf oleh kerajaan, sudah pasti selepas ini mana-mana NGO boleh memperkenalkan sijil peperiksaannya sendiri dan kemudiannya kerajaan terpaksa menerima dan mengiktiraf sijil mereka untuk kemasukan ke universiti awam (UA) dan juga sektor awam.

“ Selain itu, GPMS juga melihat mereka yang menduduki peperiksaan UEC majoriti rata-ratanya adalah terdiri daripada rakyat Malaysia. Maka sewajarnya sebagai seorang warganegara, mereka perlu dan mesti menguasai bahasa Malaysia serta memiliki pemahaman yang tinggi tentang sejarah Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-MY WD