KUALA LUMPUR,JULAI 14:MAPPIM… Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) bersedia mengambil tindakan undang-undang bersama pasukan peguam bagi menghalang pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Malah Ketua Pegawai Eksekutif Mappim, Mohd. Zai Mustafa berkata, pihaknya serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Gerakan Pembela Ummah (Ummah) turut bercadang menggerakkan himpunan bantahan rakyat secara besar-besaran di Kementerian Pendidikan di Putrajaya.

Katanya, ini kerana kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek semalam disifatkan sebagai angkuh dan seolah-olah terikat dengan desakan pihak tertentu dalam Pakatan Harapan.

“Kenyataan beliau mempertahankan UEC dilihat sebagai menjawab bantahan dan desakan pelbagai pihak agar Kementerian Pendidikan tidak mengiktiraf UEC.

“Semua keputusan yang akan dilaksanakan mestilah secara berhemah dan lebih berhati-hati dengan mengambil kira peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan akta yang berkaitan dengan pendidikan, bahasa kebangsaan serta sensitiviti majoriti rakyat di negara ini,” katanya menerusi kenyataan yang dipetik menerusi Harakah Daily, di sini semalam.-MY WD