KUALA LUMPUR, 24 SEPT – TIDAK…. UEM Sunrise Bhd, milik Khazanah Nasional Bhd menafikan lembaga pengarahnya membuat atau menerima sebarang cadangan korporat untuk digabungkan dengan syarikat hartanah lain.

Bagaimanapun, syarikat itu memaklumkan di Bursa Malaysia bahawa ia akan terus meneroka peluang perniagaan strategik yang boleh memberikan pulangan kepada pemegang sahamnya.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada laporan media minggu lalu yang memetik sumber mendakwa terdapat spekulasi bahawa UEM Sunrise berkemungkinan mengambil alih Eco World Development Group Bhd.

“Kami ingin menjelaskan bahawa lembaga pengarah tidak membuat sebarang cadangan korporat seperti yang dilaporkan dalam media, daripada mana-mana pihak untuk dipertimbangkan,” kata UEM Sunrise dalam kenyataan yang difailkan di Bursa Malaysia.

UEM Sunrise mencatatkan keuntungan bersih separuh tahun pertama (1HFY19) berjumlah RM70.46 juta, turun 70.5 peratus tahun ke tahun, disebabkan tiada sumbangan daripada penjualan tanah pada suku dikaji.

Ia diraih daripada pendapatan yang meningkat 64.9 peratus pada RM1.42 bilion. – WD MY