UiTM Capai Objektif Semenjak Penubuhannya – PM

0
111

SHAH ALAM, 14 Okt – Capai Objektif…… Sejak penubuhannya 60 tahun lalu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) sudah berjaya mencapai empat objektif utama yang perlu dicapai sebagai universiti, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, bermula daripada Institusi Teknologi MARA (ITM) hingga kini bergelar universiti, UiTM antara lain berjaya memberi peluang kepada rakyat di negara ini memasuki institusi pengajian tinggi.

“Akses kepada universiti adalah kayu ukur kepada ekonomi, tamadun yang kuat mesti diukur berdasarkan kepada bilangan peratusan rakyat yang berpeluang ke universiti.

“Dengan angka ini, menunjukkan UiTM adalah institusi penyumbang terbesar yang memberi akses kepada pendidikan di negara ini.

“Yang kedua, UiTM juga memberi akses kepada pendidikan yang berkualiti. Bagaimana nak ukur kualiti ini? Saya difahamkan UiTM adalah antara universiti yang mempunyai kebolehpasaran graduan tertinggi,” katanya ketika merasmikan Majlis Kemuncak Sambutan UiTM 60 Tahun, di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini, hari ini.

Najib berkata, UiTM juga menyumbang kepada mobiliti sosial dan kejuruteraan sosial negara yang menyaksikan nasib masyarakat terutama golongan Melayu dan Bumiputera kini mampu keluar dari kemiskinan selain membina masyarakat yang adil tanpa mengira bangsa. – WD MY