MIRI, 14 Mei – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
hari ini mencadangkan ujian psikometrik sebagai satu daripada syarat untuk
pelantikan guru baharu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, cadangan syarat baharu itu
ialah bagi memastikan golongan pendidik yang lebih berkualiti bukan sahaja
memiliki keputusan cemerlang dalam pendidikan peringkat ijazah pertama tetapi
aspek spiritual yang sihat dan positif.

“Saya ingin menyarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) mengadakan
penilaian sahsiah diri melalui ujian psikometrik kepada semua graduan perguruan
sebagai satu tapisan permulaan proses pelantikan,” katanya ketika merasmikan
Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2015 di sini malam ini.

Muhyiddin berkata, sebelum ini kemasukan untuk program Ijazah Sarjana Muda
Pendidikan (PISMP) telah diperketatkan dengan calon perlu mendapat keputusan
lima cemerlang dalam peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk layak
dipanggil menjalani Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) dan tujuh cemerlang untuk
mengikuti Program Pelajar Cemerlang (PPC).

Beliau berkata, dengan adanya syarat baharu tersebut calon PISMP dan PPC
menamatkan pengajian dengan displin ilmu yang tinggi melibatkan aspek fizikal
dan spiritual.

Tambah beliau, mulai tahun lepas sebagai mengiktiraf PISMP cemerlang yang
mencapai Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.5 ke atas, tiada proses temu
duga untuk pelantikan tetap sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).

“Hanya calon-calon yang memperoleh PNGK di bawah 3.5 dan opsyen pengajaran
diperlukan Kementerian Pendidikan akan dipanggil temu duga untuk pelantikan
tetap PPP,” katanya.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY