KUALA LUMPUR, NOVEMBER 21: UKM…Aktivis sosial Hishamuddin Rais mendakwa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membatalkan program kuliahnya berkenaan politik semasa, malam semalam.

Hishamuddin berkata kuliah itu sepatutnya berlangsung pada pukul 8.30 malam tadi di sudut pidato UKM di Bangi, Selangor, tetapi penganjur kemudian memaklumkan pentadbiran universiti melarang ia diteruskan.

“Program ini anjuran kumpulan mahasiswa dan pensyarah UKM. Universiti adalah tempat segala bentuk ilmu dibentang, dibincang, ditolak atau diterima.

“Justeru saya kesal (kerana) dalam ‘Malaysia baru’ masih ada sekatan dan penindasan terhadap diri saya. Masih terdapat halangan untuk saya membawa pencerahan pendebatan dan pertukaran fikrah,” katanya dalam kenyataan.

Malaysiakini telah menghubungi pihak UKM bagi mendapatkan respons mereka.

Beliau meminta Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengkaji semula dasar-dasar yang disifatkannya sudah lapuk tetapi masih dilaksanakan di universiti.

Menurutnya, program itu anjuran kumpulan Diskopi – merangkumi mahasiswa dan pensyarah – dan ia adalah program ketiga anjuran mereka.

“Saya mengangkat topi kepada mereka ini yang berani menjalankan program perbincangan secara ilmiah dan intelektual,” katanya lagi.-MY WD