KUALA LUMPUR 10 Feb. – UNTUNGKAN…. Kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Hasanuddin Mohd. Yunus bahawa pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) menepati maqasid syariah didakwa menguntungkan DAP.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, manakan tidak, parti tersebut kini memiliki golongan agamawan yang mampu mempertahankan tindak-tanduk mereka dengan menggunakan alasan agama.

“Untunglah DAP punya ulama yang akan mempertahankan setiap tindakan mereka dengan dalil-dalil agama.

“Lepas ini makin banyaklah pusingan U dalam polisi dan dasar kerajaan. #ManifestoBukanKitabSuci,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau hari ini.

Baru-baru ini, Hasanuddin berkata, pemasangan AES dan saman yang dikeluarkan bertujuan menjaga nyawa pemandu serta penumpang, keselamatan pengguna dan harta benda yang ada di atas lebuh raya menepati maqasid syariah dalam Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat menjelaskan kesimpulan itu dibuat berdasarkan perbualan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Harapan Jumaat lalu. – WD MY