KUALA LUMPUR, 15 Jan – PERBEZAAN….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa umat Islam negara ini perlu mengetepikan perbezaan pendapat dan mencari titik persamaan demi memastikan syiar Islam terus subur di negara ini.

Dalam situasi agama Islam di seluruh dunia diasak daripada pelbagai sudut dan berpecah-belah, beliau berkata umat Islam di negara ini perlu terus bersatu menentang asakan termasuk Islamofobia melalui contoh dan akhlak yang baik.

“Carilah titik pertemuan… cari titik persamaan melebihi titik perbezaan agar Islam terus menjadi agama syumul di negara kita,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap di Majlis Mahabbah Rasulullah 2018 di Masjid Al Bukhary, Jalan Hang Tuah malam tadi.

Majlis kali kelima itu merupakan anjuran UMNO bahagian Bukit Bintang.

Ahmad Zahid turut mengingatkan walaupun mengikut jangkaan jumlah umat Islam dunia dijangka bertambah kepada tiga billion menjelang 2050, namun dikhuatiri ‘lenyap’ jika tidak mempunyai kekuatan.

“Kita khuatir ada hadis menyatakan di akhir zaman nanti umat Islam begitu ramai tetapi dikhuatiri menjadi seperti buih di lautan. Ertinya akan hilang kerana ditiup ombak atau angin di laut,” katanya.

 

Timbalan Perdana Menteri memberi contoh terdapat negara Islam yang tidak menyokong resolusi menolak keputusan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel baru-baru ini.

“Kenapa keadaan ini berlaku? Kerana umat Islam dipecah-belahkan, dikuasai oleh satu kuasa yang menjadikan mereka lemah dan takut. Kita harap keadaan seperti ini tidak terjadi di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, majlis berkenaan dimulakan dengan zikir Wirdul’latif dipimpin Habib Ali Muhammad Al-Saggaf dan solat Maghrib berjemaah diimamkan Ahmad Zahid sendiri. – WD MY