KOTA BHARU, 3 Okt – LARANGAN…. Semua Umat Islam yang memakai seluar pendek paras atas lutut di negeri ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, berkata memakai seluar pendek paras atas lutut adalah perbuatan tidak sopan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985.

Beliau berkata, undang-undang itu sudah termaktub sejak 1985, yang bertujuan mendidik umat Islam memakai pakaian sopan dan juga menanam kesedaran kepada remaja berhubung dengan pakaian menutup aurat.

“Saya meminta semua pihak tidak menjadikan perkara ini sebagai isu besar atau mencipta konflik antara orang Islam dan bukan Islam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini.

Mengikut enakmen berkenaan, memakai seluar pendek paras atas lutut dan perempuan yang berseluar serta berbaju ketat, berlengan pendek, tidak bertudung, adalah kesalahan dalam adab berpakaian.

Bagaimanapun, kesalahan itu hanya untuk mereka yang beragama Islam.

Pada 25 September lalu, seorang lelaki ditahan ketika dalam perjalanan menuju gelanggang futsal kerana berseluar pendek.

Lelaki terbabit yang berusia 30 tahun diberi notis untuk hadir ke sesi kaunseling pada minggu hadapan bersama 10 lagi individu, termasuk empat perempuan yang didapati melakukan kesalahan berpakaian tidak sopan.

Sementara itu, Ketua Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain, berkata bermain bola sepak dengan memakai seluar pendek atas paras lutut di negeri ini adalah satu kesalahan.

“Bagaimanapun, kita dalam peringkat berdakwah dan memberi kesedaran pada orang ramai, setakat ini tiada tindakan yang diambil terhadap mereka (pemain bola sepak),” katanya. – WD MY