KUALA LUMPUR, 25 MAC – TINDAKAN… Umno akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming atas dakwaannya pemerintahan Umno dan PAS akan menjadikan Malaysia sebagai negara Taliban.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata beliau telah mengarahkan sebuah firma guaman untuk mengambil langkah sepatutnya.

“Umno memutuskan untuk memulakan satu tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat parti tertentu yang cuba mengaitkan dan memfitnahkan Umno dengan Taliban baru-baru ini.

“Saya telah menandatangani surat mandat kepada sebuah firma guaman pagi ini untuk tindakan seterusnya,” katanya di Twitter.

Dalam ciapan seterusnya, Annuar membalas ciapan seorang pengguna yang mendakwa DAP sebagai bersifat perkauman.

“DAP mungkin rasis, mungkin tidak… Yang pasti DAP amal dasar sosialis dan sekular. Tetapi semua orang tahu pemimpinnya jelas ada yang totok rasis,” katanya yang juga anggota parlimen Ketereh.

Terdahulu, Nga yang juga timbalan yang dipertua Dewan Rakyat berkata beliau tidak akan memohon maaf atas kenyataannya itu.

“Apa yang nak dimohon maaf?” katanya.

Hari ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam satu hantaran Facebook menyifatkan pihak yang membandingkan parti itu dengan Taliban adalah “disokong komunis”. – WD MY