KUALA LUMPUR,MEI 23:UMNO…UMNO..Perw UMNO harus bijak mengetengahkan calon berwibawa untuk diangkat sebagai pemimpin selepas Majlis Tertinggi (MT) membenarkan semua jawatan tertinggi dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata pihaknya menyambut baik pengumuman itu, namun mengingatkan perwakilan yang hendak menamakan calon perlu membebaskan diri mereka daripada cengkaman ‘pemimpin’ terdahulu.

Justeru, katanya, perwakilan hendaklah bijak menentukan calon yang akan bertanding seterusnya jika dipilih, individu berkenaan dapat memulihkan parti.

“Penamaan calon bermula di cawangan dan kita minta cawangan dan bahagian bijak menentukan calon ini kerana UMNO perlukan pemulihan serta nafas baharu.

“Jadi, kita mahu supaya pemimpin yang dipilih nanti mereka yang betul-betul berwibawa, berupaya untuk beri suntikan baharu kepada UMNO dalam usaha memulihkan ‘semangat’ selepas kalah (Pilihan Raya Umum Ke-14).

Bagi ketua bahagian yang sudah beberapa penggal gagal menaikkan imej UMNO, beri laporan salah kepada pucuk kepemimpinan parti dan menipu, beri sahaja peluang kepada muka baharu kalau mahu transformasikan pusat,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Semalam, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan semua jawatan tertinggi parti termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden serta ketua sayap dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

Cadangan supaya semua jawatan parti dipertandingkan disentuh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, sebelum disokong beberapa kepemimpinan UMNO peringkat negeri dan bahagian.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata sekiranya muka lama masih diberi mandat untuk menerajui parti sama ada di bahagian atau pusat sekali lagi, individu itu harus berubah serta-merta demi kebaikan parti.

Katanya, kalau sifat sombong, bongkak, angkuh dan tidak mahu dengar cakap semakin menebal, mereka perlu buang sikap buruk itu.

“Saya lihat, kebarangkalian ‘muka-muka’ lama untuk dipilih semua besar kemungkinan berlaku. Mereka mungkin kembali semua. Veteran UMNO harap perwakilan bijak.

Kalau mahu perubahan untuk selamatkan UMNO, perwakilan harus lupakan jasa dan budi kawan-kawan terhadap mereka. Muka lama yang gagal sebelum ini sudah jadi liabiliti kepada UMNO,” katanya.-MY WD