KUALA LUMPUR,SEPTEMBER 30:RASIS… UMNO bukanlah sebuah parti rasis, berat sebelah dan prejudis atau menjadi ancaman kepada kaum lain.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata orang Melayu tidak pernah menzalimi dan meminggirkan mana-mana kaum lain, jauh sekali untuk mengambil hak kaum lain secara paksa.

“Malah, kita telah membuktikan bahawa kita sentiasa bertindak di atas ‘the Malay wisdom’ atau ‘Bijaksana Melayu’, dan meletakkan prinsip ‘al-adlu wal-ihsan’ (adil dan ihsan) sebagai ‘kompas moral’ dalam setiap tindakan,” katanya pada Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018, malam SEMALAM.

Beliau berkata hakikatnya, orang Melayulah yang paling terdedah dengan sikap bias dan prejudis bangsa lain kepadanya.

Katanya, orang Melayu dituduh bodoh dan kononnya pemalas, terlalu bergantung kepada subsidi dan bantuan kerajaan.

“Lebih menyedihkan lagi, apabila bangsa kita disebut sebagai bangsa pengemis dan amat menghairankan mereka yang berada dalam saf kepemimpinan kerajaan hari ini, rela bangsanya dihina sebegitu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata akibat daripada sikap prejudis dan bias itu, ramai orang Melayu masih sukar mendapat peluang yang saksama, terutamanya dalam menyertai syarikat swasta yang bukan milik Melayu.

“Usahawan Melayu masih menghadapi masalah menembusi rangkaian perniagaan, dan mendapatkan bekalan pada harga yang kompetitif dari sumber yang dikuasai bukan Melayu.

“Orang Melayu masih gagal menguasai ekonomi kerana disiskriminasikan,” katanya.-MY WD