KOTA BHARU,JUN 30:TABUNG KHAS… UMNO berhasrat melancarkan tabung khas mengutip derma bagi membiayai program parti itu jika akaunnya terus dibekukan Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu masih pada peringkat cadangan dan akan dibincangkan dengan barisan EXCO, lusa.

Walaupun terkesan dengan pembekuan akaun parti, termasuk untuk pembayaran gaji pekerja, beliau berkata, semangat UMNO tetap tidak luntur.

“Kita tidak tahu sampai bila akaun akan dibekukan. Sekiranya perlu, kita akan mengisytiharkan tabung mengutip derma bagi membiayai program dijalankan.

“Mereka mahu lakukan apa sahaja terhadap UMNO, kita tidak kisah kerana saya melihat semangat ahli, khususnya Pemuda tidak akan mengalah sebab duit bukan segala-galanya.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) dan pemilihan minggu lalu, Pemuda sudah memberi isyarat bahawa yang kita pentingkan ialah perjuangan dan bukannya wang.

“Semakin ditekan, semakin kita bangkit. Semangat kita tidak akan terjejas hanya kerana akaun parti dibekukan. Mereka tidak boleh menutup semangat perjuangan kita,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Pemuda UMNO Kelantan, di sini, malam tadi.

Pasukan Petugas Khas 1MDB mengesahkan membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi, termasuk UMNO serta parti politik lain yang dipercayai terbabit dengan penyelewengan dana 1MDB.

Dalam satu kenyataan semalam, pasukan itu memaklumkan bahawa akaun milik persatuan dan syarikat yang terbabit dalam siasatan kes berkenaan, turut dibekukan.

Selain itu, pasukan berkenaan memberi jaminan siasatan dijalankan secara adil, profesional dan mengikut undang-undang ditetapkan.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, sekiranya gagal menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda UMNO untuk melakukan perubahan dalam parti, beliau tidak akan bertanding pada PRU akan datang.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, saya menyasarkan untuk membina asas Pemuda menerusi program pengkaderan dan pentarbiahan.

“Justeru, saya berharap jentera Pemuda UMNO sama-sama membantu menguatkan kembali parti bagi meraih semula keyakinan rakyat,” katanya.-MY WD