KUALA LUMPUR, 1 Okt – Setuju…..UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyokong kaedah baharu dalam hal berkaitan pembiayaan kewangan kepada parti politik dalam memastikan penyaluran dana politik yang lebih telus serta dipantau pihak yang neutral.

Datuk Seri Najib Razak, berkata UMNO pada prinsipnya sudah lama mengemukakan perkara berkaitan dengan dana politik dan ia sudah diperjuangkan kerajaan.

Katanya, pembiayaan politik bukan perkara baharu, malah sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lagi, ia sudah dicadangkan supaya ada kaedah khusus untuk mengawalnya.

“Kita perlu menyokong kaedah baharu ini, yang mana perlu disokong kedua-dua pihak (parti kerajaan dan parti pembangkang).

“Dulu walaupun BN bersetuju, pembangkang tidak bersetuju dengan kaedah yang kita cadangkan (menyebabkan ia tidak dilaksanakan),” katanya mengulas cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) supaya Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik digubal untuk menjamin integriti dan tadbir urus parti politik.

Pengerusi JKNMPP yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan mengumumkan cadangan itu berkata, draf akta itu turut merangkumi 32 cadangan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu proses pelaksanaan, keperluan undang-undang baharu dan jangkaan pelbagai isu berbangkit dalam jangka panjang.

Najib juga Pengerusi BN berkata, adalah tidak adil kepada BN jika peraturan dan kaedah baharu pembiayaan politik itu tidak dikuatkuasa atau dilaksanakan kepada semua parti politik.

Katanya, peraturan baharu berkenaan perlu menyeluruhan kepada semua parti politik yang ada di negara ini.

“Perkara terperinci mengenai kaedah baharu ini perlu dibincang satu persatu oleh semua part politik, sekarang ia masih diperingkat cadangan, perlu dibincang satu persatu dan mendapat persetujuan semua,

“Kita kena tengok pada cadangan kerana mungkin ada yang perlu dibuat pengubahsuaian. Secara prinsipnya, UMNO dan BN menyokong perlunya kaedah pembiayaan politik ini dilaksanakan,” katanya.

Mengulas kemenangan kumpulan pro Aspirasi di 12 universiti awam, katanya, keputusan itu membuktikan dasar kerajaan tetap diterima generasi muda.

“Ini gambaran positif bahawa dasar kerajaan tetap diterima generasi muda asalkan kerajaan dapat menjelaskan mengenainya selain berpeluang mendekati golongan berkenaan,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY