KUALA LUMPUR, SEPTEMBER 27: UMNO berharap penubuhan kerajaan perpaduan di antara parti itu dengan mana-mana parti politik dalam kerajaan dapat direalisasikan segera.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun UMNO tidak menetapkan tempoh tertentu, parti berharap ia dicapai menerusi persetujuan bersama.

“Kami terbuka (tubuh kerajaan perpaduan) sebelum atau selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri.

“Perundingan dengan mana-mana parti tidak ada tempoh atau had masa kerana sesuatu keputusan memerlukan persetujuan sepenuhnya pihak satu lagi.

“Pada masa sama saya perlu hormati pandangan rakan dalam saf kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Pada hemat kami, lebih cepat lebih baik,” katanya

Beliau mengulas adakah tindakan BN memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson ada kaitan dengan usaha UMNO untuk menjalin kerjasama dengan parti tertentu dalam Pakatan Harapan (PH) sama ada dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau PKR.

Keputusan UMNO memboikot PRK itu menimbulkan persepsi UMNO mungkin bekerjasama dengan PKR bagi memberi laluan mudah untuk Anwar menjadi Perdana Menteri kelapan.

Namun, UMNO turut dilaporkan berbincang dengan BERSATU bagi merancang pelan penubuhan kerajaan perpaduan bagi menangani kemelut politik ketika ini.

Ahmad Zahid turut berkata, UMNO terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti untuk menubuhkan kerajaan perpaduan sebagai satu eksplorasi politik.

Bagaimanapun, ia tidak sampai ke tahap UMNO perlu ‘merangkak’ atau mengemis dengan parti yang berkaitan.

“Ia bukan bermakna kita mahu merangkak untuk bertemu tapi kita harus dinamik dalam menentukan apa saja persamaan jika ada.

“Ada kaedah yang kami perincikan melalui pelbagai perbincangan tapi kebanyakan ahli dan kepemimpinan mahu kita tidak perlu jadi pengemis kerana pengemis tiada pilihan,” katanya.-MY WD