UMNO Hargai Jasa Ahli Yang Berkorban Untuk Parti

0
100
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan sumbangan kepada bekas Ketua Penerangan Wanita Umno Bahagian Selayang, Saridah Ibrahim diperhatikan Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Husein (kiri), Ketua Wanita Umno dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (kanan) ketika Perhimpunan Agung Umno ke 70 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Kenang Jasa……. Bagi mengenang jasa ahli yang berkorban untuk parti, Biro Kebajikan UMNO hari ini mengumumkan akan menanggung rawatan fisioterapi kepada Saridah Ibrahim, 56, yang lumpuh selepas terbabit kemalangan jalan raya, dua tahun lalu.

Saridah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan Selayang, turut menerima sumbangan tunai dan barang keperluan harian yang disampaikan sendiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Presiden, Datuk Seri Zahid Hamidi; Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Selain itu, Biro Kebajikan UMNO bersama Pergerakan Wanita UMNO turut memberi bantuan keperluan harian secara bulanan kepada Saridah.

Semalam, Perdana Menteri ketika Persidangan UMNO 2016 mengimbas kisah Saridah, yang harus dijadikan inspirasi mengenai keikhlasan dan kegigihan perjuangan ahli parti.

Saridah terbabit kemalangan jalan raya sewaktu pulang berkempen untuk Barisan Nasional ketika Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada tahun 2014.

Akibat kemalangan itu, beliau terlantar beberapa bulan di hospital dan bergantung kepada kerusi roda. – WD MY