BACHOK,  4 Jun – Kendali….Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan bertanggungjawab mengendalikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, berikutan wakilnya hilang kelayakan selepas diisytiharkan muflis.

Naib Presiden UMNO yang menggalas tanggungjawab Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ini berikutan tiada lagi sebarang Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan kerana sudah melepasi tempoh matang.

“Saya serta Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Razak) sudah dimaklumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai kekosongan itu.

“Kita reda dengan kekosongan itu, namun kita serahkan kepada perhubungan negeri untuk mengendalikan DUN yang diisytiharkan kosong itu,” katanya dalam sidang media di Program Penerapan Nilai-nilai Murni Bersama TPM di Masjid Mahmudi di sini, hari ini.

Khamis lalu, kerusi DUN Nenggiri, Gua Musang, diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Kelantan selepas penyandangnya, Mat Yusoff disahkan muflis.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub, berkata pihaknya menerima surat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Selangor pada 28 Mei lalu, memaklumkan Mat Yusoff yang juga wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Nenggiri sejak 2013, disahkan muflis.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim; Pemangku Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad; serta Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin. – WD MY