KUALA LUMPUR, 25 Feb – Nafi…….. Parti UMNO menafikan sebarang penglibatan dalam
penganjuran pemberian sebarang geran atau dana kononnya bagi membantu usahawan
khususnya peniaga kecil dan syarikat baru dengan menjanjikan pulangan berganda
dalam tempoh tertentu.
 Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya
telah menerima beberapa aduan berkaitan kewujudan geran atau dana yang
mengaitkan nama UMNO bagi membantu syarikat Sdn Bhd dan Enterprise.

“Sehubungan itu, saya ingin menafikan penglibatan UMNO dalam pemberian geran
atau dana kepada mana-mana pihak malah UMNO juga tidak pernah melantik mana-mana
individu atau mana-mana pihak untuk menjadi ejen dalam skim tersebut,” katanya
dalam kenyataan.

Menurutnya modus operandi skim itu menyasarkan peniaga-peniaga kecil dan
syarikat baru yang mempunyai jumlah modal kecil.
Tengku Adnan menasihati orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan
taktik mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama UMNO dan sebaliknya
membuat semakan dengan ibu pejabat UMNO terlebih dahulu bagi mengelakkan
tertipu. – WD MY