KUALA LUMPUR,SEPTEMBER 26:DINAMIK… UMNO bukan parti rasis sebaliknya mempunyai kepelbagaian kaum yang menjadikannya sentiasa dinamik dan terus diterima di era Malaysia baharu.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, berkata dakwaan pihak tertentu bahawa UMNO parti satu kaum adalah salah.

Beliau berkata, pada awal penubuhan UMNO, memang ia ditunjangi orang Melayu tetapi sepanjang membelah zaman, ia mula menerima ahli bukan Melayu.

“UMNO adalah tempat parti orang Melayu kerana kita mula dengan kaum Melayu tetapi kita bukan parti satu kaum.

“Kita ada penganut Buddha, Kristian, orang Siam dan Kadazan Dusun pun ada. Orang India pun ada dari Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) seramai 170,000 ahli.

“Ini bermakna, UMNO memiliki kepelbagaian kaum walaupun parti ini bermula dengan orang Melayu atau rumpun Melayu,” katanya dalam Bicara Online sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Mengulas kemungkinan UMNO sebagai parti keramat orang Melayu memisahkan perjuangan Islam dengan politik di era Malaysia baharu, Annuar berkata, Islam adalah panduan hidup dan kedua-dua aspek itu harus digembleng bersama.

Katanya, ada yang menjaja kononnya UMNO mahu menyisihkan Islam dan politik.

“Walhal dalam Islam ada nyatakan bahawa kita (manusia) adalah khalifah atas dunia ini. Mengapa tak boleh berpolitik atas dasar agama (Islam) sedangkan Islam cara hidup kita.

“Islam agama lengkap tetapi macam mana mereka fikir supaya tak masuk politik. Kalau yakin Islam lengkapkan cara hidup, jangan pisahkan politik dengan agama.

“Kalau UMNO, PAS tak perjuangkan, matilah Islam. Siapa pula mahu bawa Islam jika PAS pun tak boleh tetapi janganlah wujud politik sehingga menzalimi serta mengkhianati orang lain,” katanya.-MY WD