KUALA LUMPUR, 14 SEPT – DUA PARTI….. Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemeteraian piagam antara parti itu dengan PAS sebagai kesinambungan kerjasama kedua-dua parti ketika era 1970-an.

Beliau mengimbas semula kemasukan PAS dalam Perikatan pada 1972 – yang kemudiannya menjadi Barisan Nasional (BN) – untuk untuk mewujudkan kerajaan campuran pimpinan perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein, selepas insiden 13 Mei 1969.

Bagaimanapun usia PAS dalam BN tidak lama apabila keluar pada 1977 selepas bergeser dengan Umno.

“Peristiwa hari ini merupakan kesinambungan gagasan perpaduan Perikatan-PAS yang telah diasaskan oleh almarhum Tun Abdul Razak, selaku presiden Umno dan almarhum , Yang Dipertua PAS Tan Sri Asri Muda pada 28 Disember 1972.

“Mengimbau ucapan alrmahum Tun Abdul Razak di Perhimpunan Agung Umno yang ke-24 pada 30 Jun 1973, almarhum menyatakan asas kerjasama PAS dan Umno adalah kejujuran, keikhlasan, berbaik sangka dan berkhidmat bersama-sama untuk agama dan negara kerana ia bergantung kepada kestabilan politik dan ekonomi.

“Bagaimanapun kesatuan yang diidamkannya tidak kesampaian, ada rintangan yang menggagalkannya,” katanya ketika berucap di Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Ucapan Zahid dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang kemudian disusuli dengan acara pemeteraian Piagam Muafakat Nasional.

Di depan lebih 1,000 perwakilan dua parti itu, piagam tersebut dibaca bersama oleh Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, sebelum ditandatangani Zahid dan Hadi.

Dalam ucapannya, Zahid menegaskan piagam itu tidak berhasrat tidak harus menjadikan Umno dan PAS sebagai “politik kaum yang sempit serta pegangan agama yang ekstrem”.

“Ia bercanggah dengan fitrah Islam, yang menganjurkan kesederhanaan dan menghormati agama lain, selari dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Negara.

“Permuafakaan ini hendaklah dilihat dalam ruang lingkup yang jauh lebih positif. Sebagai parti yang sudah masak dengan agenda perpaduan kaum, UMNO dan PAS akan memastikan penyatuan ini, bukan untuk memisahkan, menjarakkan atau memusuhi mana-mana kaum dan agama dalam negara tercinta ini,” katanya lagi.

Beliau menegaskan perkara itu beberapa kali dalam ucapannya.

“Penyatuan ummah bukan hanya untuk UMNO dan PAS. Sebaliknya ia menyeluruh, merangkumi semua bangsa, agama dan kaum,” katanya.

Umno dan PAS mula bekerjasama lebih rapat selepas kemenangan Pakatan Harapan pada PRU 2018.

Antara hasil kerjasama itu ialah kemenangan di tiga pilihan raya kecil berturut-turut iaitu di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau. – WD MY