UMNO Perak Salur RM100,000 Pada Golongan Asnaf

0
92

IPOH, 18 Jun – Terima…. Lebih 360 orang dari golongan asnaf menerima bantuan bernilai keseluruhan RM100,000 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama UMNO Perak.

Anggota Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata program yang mendapat kerjasama Agrobank dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) itu bertujuan meraikan golongan terbabit sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Mudah-mudahan sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban selain mendekatkan diri kita dengan golongan berkenaan,” katanya ketika ditemui media pada majlis tersebut di Bangunan UMNO Negeri semalam.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO menyelar tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan saman terbaharu bagi mendapatkan aset-aset didakwa diselewengkan daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain menyifatkan ia satu usaha campur tangan untuk mengganggu gugat kedaulatan negara, Tajuddin berkata rakyat Malaysia tidak perlu terpengaruh dengan tindakan itu dan tetap berdiri teguh di belakang kepimpinan negara diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – WD MY