KUALA LUMPUR,JUN 7: LUAR KOTAK..UMNO perlu segera berfikir di luar kotak jika mahu terus relevan dan diterima akar umbi serta rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata UMNO selepas ini perlu menerima konsep ‘tiada yang mustahil boleh berlaku’ dalam arena politik selepas pemilihan parti berakhir pada bulan ini.

Katanya, barisan pemimpin UMNO yang terpilih selepas ini berdepan cabaran untuk berfikir di luar kotak dan melakukan transformasi.

“Benda ini mudah dicakapkan tetapi susah untuk dibuat. Asasnya melakukan sesuatu yang orang tidak pernah fikir.

“Mungkin kita ikut balik Allahyarham Datuk Onn Jaafar membuka UMNO kepada semua kaum. Mungkin tidak ada lagi hak istimewa. Hak istimewa untuk orang susah.

“Melayu susah, tolong Melayu. Cina, India susah tolong mereka. Mungkin ini cara fikir luar kotak. Maknanya Perlembagaan UMNO yang ada ini mungkin kena kaji semula.

“Tetapi dua perkara sahaja kita tidak boleh kompromi iaitu soal Islam dan kedaulatan raja-raja. Ia wajib kita pertahankan,” katanya pada sidang media pada majlis Pengumuman Calon Pemilihan UMNO.

Sementara itu, Adnan berkata, sesiapa sahaja boleh dicalonkan untuk jawatan Presiden parti termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pada pemilihan parti kali ini.

“Namun, soalnya adakah mereka sanggup atau tidak untuk memikul tanggungjawab sebagai Presiden jika terpilih,” katanya.

Terdahulu, Adnan berkata, Badan Perhubungan UMNO Pahang bersetuju mencalonkan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabry Yaakob bagi jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti akhir bulan ini.

Katanya, UMNO negeri turut mencalonkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Mohd Shakar Shamsudin; Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamed menawarkan diri bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi.

“Bagaimanapun, saya dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memilih untuk tidak bertanding apa-apa jawatan pada pemilihan parti kali ini.

“Mereka dicalonkan kerana menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Mereka juga rapat dengan akar umbi.

“Calon ini diharap akan membantu parti dalam keadaan sekarang (UMNO) menjadi pembangkang di Persekutuan,” katanya.

Ismail Sabry adalah Ahli Parlimen Bera manakala Ismail ialah Ahli Parlimen Kuala Krau dan Abdul Rahman adalah Ahli Parlimen Lipis manakala Mohd Shakar adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang.-MY WD