KUALA LUMPUR, 4 Okt – Pertingkatkan Kawalan Keselamatan….. Pihak Umno akan meningkatkan Kawalan keselamatan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini termasuk langkah mengehadkan capaian siaran langsung persidangan.

Setiausaha Kerjanya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata keutamaan mengikuti inti pati persidangan akan diberi kepada perwakilan dan media arus perdana, selain individu yang melepasi saringan kawalan keselamatan.

Langkah itu, katanya, bagi memastikan ucapan perwakilan dan maklumat parti, termasuk penyata kewangan tidak disalahgunakan segelintir pihak yang mempunyai agenda peribadi.

“Tahun ini, kita melihat kaedah terbaik untuk melaksanakan langkah mengawal selia perjalanan persidangan.

“Lintas langsung yang kita tayangkan di aras dua iaitu untuk tontonan orang ramai sebelum ini disalah guna (segelintir pihak) bagi menyerang semula UMNO.

“Sehubungan itu, kita mungkin tidak memberikan lintas langsung di aras dua, sebaliknya menyediakan dewan khas dan menempatkan petugas keselamatan mengawal aliran keluar masuk,” katanya pada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Media menjelang PAU 2016, sebentar tadi.

PAU 2016 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 29 November hingga 3 Disember ini, dijangka dihadiri 3,247 perwakilan daripada 191 bahagian UMNO.

Persidangan lima hari itu akan turut disertai 282 perwakilan asing dari 80 negara di seluruh dunia, termasuk parti politik yang mempunyai hubungan baik dengan UMNO. – WD MY

LEAVE A REPLY