KEPALA BATAS, 5 Feb – Berjumpa….. Pihak UMNO Pulau Pinang akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berhubung cadangan menjadikan Pulau Pinang sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.

Pengerusinya, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, berkata beliau perlu mengetahui tujuan sebenar Tengku Adnan dan apa yang mahu dilakukannya bagi membantu meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini.

“Setakat ini tiada perbualan rasmi dibuat bersama Tengku Adnan dan kita hanya tahu mengenai cadangan itu melalui laporan media.

“Sebahagian pemimpin di sini ingin tahu apakah tujuan sebenar Tengku Adnan mencadangkan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan yang berkemungkinan mempunyai niat baik,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Rabu lalu, Tengku Adnan mencadangkan perluasan kawasan Wilayah Persekutuan merangkumi Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian Melaka.

Negeri berkenaan akan diletak di bawah pentadbiran Putrajaya secara langsung dan bakal mendapat lebih peruntukan serta perhatian daripada Kerajaan Persekutuan. – WD MY