NIBONG TEBAL, 26 Feb – Perjelaskan Segera…… Parti UMNO negeri hari ini, mendesak kerajaan DAP Pulau Pinang membuat penjelasan segera berhubung isu membeku dan melengahkan pelaksanaan empat fatwa yang sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, sejak beberapa tahun lalu.

Datuk Seri Zainal Abdidin Osman, berkata EXCO Agama, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, perlu tampil untuk menjelaskan mengenai perkara itu kerana ia sekali gus menimbulkan keresahan umat Islam di negeri ini.

“Adalah amat malang sekali jika perkara itu benar-benar berlaku dan kita minta mufti serta Jawatankuasa Fatwa negeri mengambil tindakan termasuk mewartakan fatwa berkenaan dengan kadar segera.

“Namun sekiranya ia tidak berlaku, maka EXCO Agama perlu main peranan dengan memberi penjelasan mengenainya. Ini bukan isu kecil kerana ia membabitkan martabat dan kesucian Islam, serta integriti pihak berkuasa agama di negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, tindakan kerajaan negeri mencampuri urusan fatwa negeri adalah bertentangan dengan Seksyen 48 (3) dan (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004.

“Kita amat kesal dengan apa yang berlaku, serta meminta pihak berkuasa agama termasuk ahli jawatankuasa fatwa negeri supaya bertindak lebih tegas bagi memastikan tidak lagi berlaku campur tangan membabitkan urusan umat Islam di Pulau Pinang,” katanya.

Semalam, PAS Pulau Pinang mendakwa kerajaan negeri sengaja membekukan dan melengahkan pelaksanaan empat fatwa yang sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Penerangan, Mohd Yusni Mat Piah dipetik sebagai berkata, antara empat fatwa terbabit adalah berhubung pengharaman wanita Islam Pulau Pinang daripada menyertai sebarang pertandingan ratu cantik. – WD MY