UMNO Pusat Dan Negeri Urus Bersama Harta Milik Parti Itu – Tengku Adnan

0
33

KUALA KANGSAR, 12 Ogos – Urus……  Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Harta UMNO di seluruh negara diurus tadbir secara bersama oleh UMNO negeri dan pusat berkuat kuasa awal tahun ini bagi mengelak sebarang masalah.

Beliau berkata sebelum ini harta atau aset misalnya bangunan dikawal oleh UMNO negeri atau bahagian sehingga kadang kala wujud kesulitan jika berlaku perubahan kepimpinan.

“Selalu bila ada perubahan kepimpinan, harta UMNO seperti bangunan di kawasan tertentu (pengurusan) entah ke mana, macam-macam berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Barisan Nasional (BN) berkata semua parti komponen BN sedang melakukan gerak kerja sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

“BN sedang memantau gerak kerja semua parti komponen untuk memastikan semuanya berjalan lancar” katanya.

 

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut meminta semua pihak di Kuala Kangsar meningkatkan kerjasama dan memantapkan usaha bagi memastikan Parlimen itu dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Chandan serta Manong kekal milik BN pada PRU14.

“Kita tak nak ambil kira (keputusan) pilihan raya kecil (PRK) kerana bila PRK semua jentera ada di situ, tapi untuk PRU semua mesti kerja kuat dan bersatu memandangkan trend kemenangan BN semakin merosot sejak beberapa PRU lepas,” katanya.

Pada PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016, BN mengekalkan kerusi itu menerusi calonnya Mastura Mohd Yazid dengan majoriti 6,969 undi.

Terdahulu, dalam ucapannya Tengku Adnan meminta semua anggota parti supaya setia kepada UMNO dan menyokong perjuangannya kerana ia merupakan sebuah parti yang mempunyai struktur jika dibandingkan dengan parti pembangkang. – WD MY