PUTRAJAYA, – 3 Mei – CADANG…… Pihak UMNO akan meneliti setiap kes berhubung pembabitan veteran UMNO yang cenderung menyokong pembangkang atau mengeluarkan kenyataan menghentam parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata bekas pemimpin UMNO terbabit boleh dikenakan tindakan jika didapati melanggar perlembagaan dan etika parti.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan veteran UMNO yang juga bekas menteri termasuk Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin yang masing-masing dikatakan menghentam UMNO serta menyokong pembangkang.

“Kita lihat apa yang beliau (Rafidah) kata. Kadang-kala beliau kata apa yang beliau kata tetapi akhirnya beliau mendakwa beliau tidak berkata demikian.

“Kadang-kala mereka kata, mereka pergi sebagai kawan, bukan sebagai ahli politik. Inilah masalah yang kita hadapi sebab kita semua ini berkawan secara asasnya.

“UMNO adalah parti yang adil. Kita pasti akan meneliti setiap kes dan mengambil tindakan jika perlu,” katanya.

Tengku Adnan berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Bantuan Ihya’ Ramadan dan Watiqah Ketua Amil dan Zakat Fitrah 1439H/ 2018 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. – WD MY