ARAU, 19 Sept – Teliti Persempadanan…… Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan diteliti oleh anggota Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 23 September adalah antara perkara yang akan diberi perhatian oleh UMNO menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata usul itu akan turut dibawa pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 30 September depan.

Katanya sebarang syor atau bantahan yang diputuskan hasil penelitian tersebut kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab memutuskan perkara berkenaan.

“Pilihan raya berkait tentang bilangan dan kawasan di mana jumlah kerusi mempengaruhi keutuhan sesebuah kerajaan memerintah, jadi proses ini (persempadanan semula) antara yang boleh memberi impak kepada perkara itu dan ia wajar diambil perhatian oleh parti,” katanya.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Arau di Dewan Kolej Matrikulasi Arau semalam.

SPR melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula Khamis lalu.

Terdahulu dalam ucapannya Tengku Adnan berkata UMNO turut perlu mempergiat jentera dalam meneliti senarai daftar pemilih di setiap bahagian dan cawangan sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya umum akan datang. – WD MY

LEAVE A REPLY