KUALA LUMPU,JULAI 31:TENTANG…UMNO menentang sekerasnya tindakan pihak tertentu cuba menghidupkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) di negara ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan berkenaan hanya akan membangkit api kemarahan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Katanya, dalam masa yang sama tindakan itu berbahaya kepada sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Tindakan itu juga bahaya kepada sistem Raja Berperlembagaan di negara ini dan UMNO tidak boleh toleransi dengan perkara ini,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan aktivis masyarakat,Fadiah Nadwa Fikri yang menggesa kerajaan untuk menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan oleh golongan berhaluan kiri termasuk PKM.

Annuar berkata, kerajaan diminta mengambil tindakan tegas dan tidak berdiam diri dengan menyatakan perkara itu adalah kebebasan untuk bersuara.

Katanya, UMNO tidak akan berdiam diri terutama dalam usaha menukar fakta sejarah ini.

“Memang betul PKM menentang Jepun bersama dengan Parti Perikatan tetapi mereka tidak mahu merdeka mengikut cara yang diinginkan sebaliknya mahu mengambil tindakan bersenjata.

“PKM ketika itu mahu menjadikan Malaya sebagai sebuah republik dan perkara itu ditentang Parti Perikatan. Ini fakta yang sebenar, jangan hendak mengubah sejarah… apa tujuan pun saya tidak tahu, ” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata tindakan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran menyatakan orang Melayu adalah pendatang adalah satu yang biadap.

“Saya berani untuk berbahas fakta sejarah ini, jangan cuba hendak mengubah fakta dan cubaan ‘testing the water’. Ini tidak boleh diterima sama sekali, ” katanya.-MY WD