KOTA BHARU, 3 Jun – UNIFI…..Telekom Malaysia Bhd (TM) Kelantan sedang mempertingkat rangkaian jenama konvergen, Unifi, supaya 30,000 pelanggan di negeri itu yang masih dalam rangkaian ‘tembaga’ dapat bertukar kepada rangkaian perkhidmatan itu, kata Pengurus Besar, Azman Yusof.

Katanya, pelanggan Unifi di negeri itu berjumlah kira-kira 10,000 setakat ini dan angka itu agak terkebelakang berbanding negeri lain.

“Keadaan geografi selain kedudukan kediaman dan kekurangan taman perumahan menyebabkan perkhidmatan Unifi di Kelantan agak terkebelakang berbanding negeri lain selepas mula diperkenalkan pada 2015.

“Bagaimanapun, kita sentiasa akan meningkatkan rangkaian dari semasa ke semasa dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kerajaan negeri,” katanya semasa bertemu media semalam.

Berhubung liputan Unifi di negeri itu, Azman berkata, buat masa ini, dianggarkan kawasan liputan adalah kira-kira 40 hingga 50 peratus saja.

Dalam perkembangan terbaru, TM kini meneruskan gerakan #khabarbaik dengan menawarkan pelan Unifi terbaharu dengan kelajuan 300Mbps termasuk Pek Tanpa Had Unifi TV bersama baucar 100 filem blokbuster percuma pada harga RM199 sebulan.

Beliau berkata, pakej itu turut didatangkan bersama masa berbual selama 600 minit ke talian tetap dan mudah alih di seluruh negara.

Sejak pengenalan gerakan #khabarbaik pihaknya berkongsi beberapa berita baik yang menumpukan peningkatan pengalaman pelanggan TM menerusi pemasangan perkhidmatan Unifi dalam tempoh 24 jam, katanya.

“Pelan Unifi 300Mbps ini boleh dilanggani bermula 15 April 2019 menerusi dalam talian di laman web unifi.com.my, cawangan TMpoint di seluruh negara, wakil jualan TM serta ejen berdaftar.

“Selain pekej ini, kita juga menawarkan pakej Unifi Basic dengan kelajuan 30Mbps pada RM79 sebulan, dan bagi kelajuan 100Mbps pula ditawarkan pada RM129,” katanya.

Beliau berkata bagi kawasan yang masih belum dibekalkan dengan perkhidmatan Unifi, TM baru saja menawarkan pakej Streamyx Jimat Hebat di kawasan yang mempunyai rangkaian ‘tembaga’ dengan kelajuan 4Mbps pada RM88.

TM turut memperkenal pakej Unifi Mobile dengan RM59 sebulan tanpa had kepada anggota jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta pesara tentera dengan tempoh langganan sehingga 30 Jun ini.

“Pakej itu juga kita tawarkan kepada pekerja syarikat perusahaan kecil dan sederhana dengan tempoh langganan sehingga 31 Ogos. Boleh dikatakan pakej ini adalah sesuai untuk seluruh masyarakat,” katanya. – WD MY