KUALA LUMPUR, 24 OKT – KONSERT… Peminat muzik “rock alternative dan grunge” tahun 90an dan awal 2000 pasti tidak sabar menunggu konsert Transcendence 20 tahun (20th Anniversary) Butterfingers yang bakal menggegarkan Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 November, 2019 nanti.

Konsert ini dianjurkan bagi meraikan ulang tahun ke-20 album ‘Transcendence’ yang merupakan salah satu hasil karya terbaik mereka sejak kumpulan ini ditubuhkan pada tahun 1996.

 

Album ketiga mereka ini dilancarkan pada Mac 1999 dan ia telah menempah sejarah apabila berjaya membolosi arus perdana muzik pada waktu itu dan album berkenaan meletakkan Butterfingers di tempat ketiga dalam carta RIM International dengan penjualan melebihi 60,000 unit. Ini merupakan kejayaan yang besar bagi sebuah band underground seperti Butterfingers.

Konsert Transcendence 20 tahun Butterfingers dikuasakan oleh unifi iaitu jenama konvergens utama di bawah Telekom Malaysia Berhad (TM), Festival Selangor Youth Republic 2019 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Penerbitan Pancasona bakal menyaksikan penyatuan semula ahli-ahli band ini yang terdiri daripada Emmet (vokal), Kadax (bass), LoQue (vokal/gitar/keyboard) dan Loko (dram) di Stadium Malawati Shah Alam yang juga merupakan lokasi konsert terakhir mereka pada tahun 2016.

Emmet tidak dapat hadir hari ini kerana dia berada di Kanada tetapi mereka telah membuat persembahan bersama-sama secara ‘live streaming’ di sidang media berkenaan.

Mengulas tentang usahasama Butterfingers dan Unifi, LoQue menjelaskan; “Ini semestinya satu #khabarbaik untuk Butterfingers dan seluruh warga peminat.  Usahasama dengan unifi ini sesuatu yang strategik dan kami berbesar hati untuk menemui peminat-peminat kami ketika siri jelajah #khabarbaik unifi Tour ke kampus-kampus terpilih pada bulan Oktober nanti.

“Konsert Transcendence 20 Tahun Butterfingers akan berlangsung sempena Festival Selangor Youth Republic 2019 dan kami sudah bersedia untuk memberikan persembahan paling Grunge!”

Butterfingers menjanjikan hiburan rock alternative dan grunge 2 jam tanpa henti dan semestinya peminat boleh menjangka lagu-lagu hits Butterfingers seperti The Chemistry (Between Us), Faculties of The Mind, Epitome, Meltdown dan pelbagai lagi lagu dari album popular mereka akan dimainkan di Stadium Malawati nanti. – WD MY