KUALA LUMPUR, 25 Mei – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
berkata Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menggali kubur-kubur yang
ditemui di Padang Besar, Perlis bagi mengenal pasti sama ada ia milik pelarian Rohingya
atau mangsa pemerdagangan manusia dari negara lain, seperti Bangladesh.

Menurut Ahmad Zahid, ujian forensik juga akan dilakukan bagi mengetahui jumlah mangsa
yang dikuburkan berdekatan dengan 17 khemah yang dipercayai digunakan untuk menempatkan pelarian berkenaan.

“Bahagian forensik yang sama telah pergi ke Ukraine, jadi mereka mempunyai
pengalaman yang banyak bagi mengenal pasti butir-butir serta bahan-bahan
forensik,” katanya.

Beliau ditemui media di lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga telah meminta kerjasama pihak berkuasa Thailand
untuk berkongsi maklumat jika terdapat individu yang menjadi dalang
pemerdagangan manusia berjaya meloloskan diri ke Thailand atau ke negara ini.

“Kerjasama dan pertukaran maklumat-maklumat ini bukan sahaja semata-mata
atas dasar isu perundangan, tapi soal kemanusiaan,” katanya.

Sementera itu, Ahmad Zahid berkata kenyataan beliau yang meminta
kerajaan Pulau Pinang menunjukkan keikhlasan dalam memperjuangkan hak-hak
kemanusiaan dengan membenarkan penempatan sementara kepada pelarian Rohingya dan
Bangladesh diwujudkan di negeri itu, bukanlah suatu kenyataan politik.

Tambah beliau, kepimpinan pembangkang sering memperjuangkan hak asasi
manusia di Dewan Rakyat dan pentas-pentas politik, justeru ia seharusnya
diterjemahkan dan bukannya dibebankan kepada pihak lain.

Semalam, Ahmad Zahid ketika mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri
Khalid Abu Bakar pada Jumaat yang mencadangkan Pulau Pinang sebagai lokasi
terbaik untuk dijadikan penempatan sementara 7,000 pelarian Rohingya berkata,
Jabatan Imigresen telah mengenal pasti beberapa lokasi, termasuk di Pulau
Pinang, untuk menempatkan pelarian berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, dalam kenyataannya
mahu pelarian berkenaan ditempatkan di tanah-tanah milik kerajaan persekutuan
kerana negeri itu menghadapi masalah tempat kosong sama ada di bahagian pulau
atau tanah besar.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY