CHICAGO, 12 April – Mohon Maaf……… Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma induk syarikat penerbangan United Express, Oscar Munoz,  memohon maaf, selepas salah seorang penumpang diheret keluar dari pesawat berkenaan yang menimbulkan kemarahan orang ramai.

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu berusaha menemui lelaki berkenaan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Isnin lalu, nadanya lebih keras, menggambarkan penumpang terbabit sebagai ‘mengganggu dan agresif.’

Namun tengah hari semalam, hampir dua hari selepas kejadian petang Ahad itu, Munoz memohon maaf ketika butiran mengenai penumpang yang kelihatan dalam rakaman video telefon bimbit itu tersebar.

“Tiada siapa sepatutnya dilayan seperti ini,” kata Munoz.

Penumpang berkenaan dikenali sebagai Dr David Dao, 69, dari Elizabethtown, Kentucky, yang pernah disabitkan lebih sedekad lalu atas dakwaan membabitkan preskripsi ubat dan berusaha bertahun-tahun mendapatkan semula lesen perubatannya.

Walaupun sejarah Dao segera menjadi tumpuan, tiada petunjuk masa silamnya mempengaruhi cara beliau dilayan atau polis lapangan terbang sedar mengenai perkara itu.

Jeritan kedengaran dalam video, tetapi Dao tidak menyerang pegawai.

Sebaliknya beliau kekal pasif ketika diheret keluar dari pesawat dan apabila dilihat berdiri kemudian, Dao berkata dengan perlahan, ‘Saya mahu pulang, saya mahu pulang.’

Apabila video itu diedarkan atas talian, ia mengundang simpati kepada Dao dan mencetuskan kritikan tajam terhadap syarikat penerbangan itu. – WD MY