NEW DELHI, 5 April – Tawar…… Universiti awam (UA) di Malaysia yang menawarkan kursus perubatan, pergigian dan farmasi akan menawarkan lima peratus tempat kepada pelajar asing mulai pengambilan pada September tahun ini kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata keputusan itu dibuat selaras hasrat kerajaan untuk meliberalisasikan pendidikan di institut pengajian tinggi awam.

Katanya, dengan keputusan itu UA yang menawarkan tiga kursus berkenaan boleh menawarkan lima peratus tempat kepada pelajar asing.

Perdana Menteri berkata, pelajar asing yang ingin memasuki UA akan dikenakan yuran mengikut harga pasaran dan bukan yuran bersubsidi yang dinikmati pelajar Malaysia.

Difahamkan, purata yuran dikenakan universiti swasta untuk kursus perubatan di Malaysia ialah di antara RM300,000 hingga RM800,000, berbanding pelajar UA yang hanya dikenakan 10 peratus daripada jumlah itu.

“Keputusan ini diambil kerana kita sudah ada lebihan doktor, malah lebih daripada mencukupi untuk keperluan kita.

“Selain itu, ia juga akan membantu universiti awam untuk menjana pendapatan tambahan bagi menguruskan operasi mereka,” katanya pada sidang media sebelum berlepas pulang selepas lawatan rasmi enam hari ini ke India, malam tadi.

Perdana Menteri berkata demikian menjelaskan laporan sebelum ini 15 peratus tempat bagi semua kursus di UA akan ditawarkan kepada pelajar asing menerusi dasar liberalisai pendidikan tinggi.

Selepas sidang media itu, Perdana Menteri merasmikan kompleks baharu pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi bernilai RM121 juta.

Kompleks di kawasan seluas 2.2 hektar itu mempunyai bangunan canselori; dewan serba guna; kediaman pesuruhjaya tinggi dan 20 unit apartmen untuk kakitangan suruhanjaya.

Najib berkata, kemasukan pelajar asing ke UA juga akan membantu pelajar tempatan untuk berinteraksi, selain selaras hasrat Malaysia untuk menjadi hab pendidikan serantau.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis itu, Perdana Menteri menyifatkan kompleks baharu berkenaan antara pejabat perwakilan Malaysia yang terbaik di dunia.

“Kalau betul kita negara gagal seperti didakwa, sudah tentu kita tidak boleh melabur untuk kompleks sebegini.

“Begitu juga isu GST (cukai barang dan perkhidmatan) yang terus dipolitikkan untuk membenci kerajaan. Kempen membenci kerajaan ini hanya akan membawa kemudaratan kepada negara.

“Saya berharap rakyat jangan termakan kempen jahat ini. Cari kebenaran. India akan memperkenalkan GST empat peringkat sehingga 28 peratus, jauh lebih tinggi daripada Malaysia,” katanya.

Najib berkata, dalam politik, pemimpin mesti ada keberanian untuk melakukan yang terbaik bagi rakyatnya.

Katanya, pemimpin tidak boleh takut dikutuk dan mesti percaya pada apa yang dilakukan adalah betul.

“Perdana Menteri Narendra Modi sebagai contoh memperkenalkan dasar demonetisasi (demonetisation) tahun lalu dan dikritik hebat, namun dalam pilihan raya di beberapa negeri yang diadakan baru-baru ini, partinya menang besar.

“Kita akan jadikan pengalaman Modi sebagai panduan ke hadapan,” katanya. – WD MY