PEKAN, 21 Feb – Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan berbangga dengan komitmen Kumpulan DRB-HICOM dalam membuat pelaburan besar bagi menjana keperluan tenaga mahir menerusi Universiti Automotif DRB-Hicom (DHU).

Perdana Menteri berkata, setakat ini kumpulan itu sudah membelanjakan RM350 juta sejak lima setengah tahun lalu bagi membangunkan universiti yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Antarabangsa Automotif (ICAM).

Katanya, kumpulan itu juga akan membelanjakan tambahan RM150 juta bagi meningkatkan kemudahan prasarana universiti itu termasuk berkaitan makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian DHU oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini,

Tengku Abdullah kemudian dimasyhurkan sebagai Canselor DHU.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Mohd Khamil Jamil; dan Naib Canselor DHU, Prof Garry Clayton. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY