SERDANG,SEPTEMBER 24:JUARA…UPM Serdang Angels membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila mempertahankan kejuaraan Kejohanan Ragbi Super 8 IPT 2018 untuk tahun kelima berturut-turut selepas membenam UiTM Lions 30-12 di Stadium UPM, di sini sebentar tadi.

Diperkuatkan dengan sembilan pemain kebangsaan, Serdang Angels bermula garang apabila mendahului UiTM Lions 22-5 sebelum separuh masa menerusi empat try dan satu conversion yang dilakukan oleh Mohd Nurazman Ramli, Wan Izzudin Ismail, Mohd Faizal Md Tahir dan Faat Hor Rozi Ismail.

Bersambung babak kedua Serdang Angels terus menggandakan asakan untuk menambah lapan lagi mata menerusi satu try (Mohamad Syarif Saiful Aazwan Sudin) dan satu penalti (Mohd Faizal) manakala UiTM Lions pula memperoleh tujuh lagi mata menerusi satu try dan satu conversion sekali gus membolehkan Serdang Angels mencatat kemenangan 30-12.

Kemenangan itu membolehkan Serdang Angels membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan manakala UiTM Lions berpuas hati dengan RM3,000.

Jurulatih Serdang Angels, Khairizal Ali Amat gembira kerana anak buahnya berjaya mencapai sasaran untuk mempertahankan kejuaraan buat kali kelima berturut-turut sejak 2014.

“Kunci utama kejayaan kami hari ini adalah kerjasama erat antara pemain kebangsaan yang beraksi di Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan lalu dan pemain lain. Jadi, pengalaman pemain kebangsaan itu mampu membantu pemain lain memperagakan aksi terbaik,” katanya.

Kejohanan ini disertai lapan pasukan – empat pasukan mewakili Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), dua pasukan daripada Majlis Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (MASISWA) dan satu pasukan Majlis Sukan Politeknik (MSP) dan satu pasukan Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM).-MY WD