KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Pusat Koordinasi….Pusat Keselamatan Siber, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang ditubuhkan tahun lalu dijadikan pusat koordinasi maklumat dalam usaha menangani ancaman kumpulan militan IS.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPNM, Profesor Dr Tengku Mohd T Sembok, berkata ia berperanan sebagai pusat pengumpulan data pengguna media baharu sekali gus mengesan latar belakang golongan ekstremisme.

“Ia juga mampu menjadi pusat rujukan dalam mempromosikan keselamatan seterusnya mewujudkan persekitaran yang selamat dan terjamin dalam kalangan penggunanya.

“Usaha ini menunjukkan kita bergerak seiring dengan perubahan teknologi. Sebagai contoh, penggunaan aplikasi Pokemon GO yang berleluasa perlu dipantau dan dikawal bagi mengelakkan ia digodam segelintir individu untuk mengugat keselamatan orang ramai,” katanya selepas Majlis Persidangan Antarabangsa Keselamatan, Teknologi dan Risikan (ICoSTI), di UPNM, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM, Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din.

Pada majlis itu, Tengku Mohd dan Ketua Pegawai Eksekutif TechCapital Matrix Sdn Bhd, Dr Ishkandar Baharin, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menggalakkan dan meningkatkan kerjasama dalam penggunaan teknologi robotik. – WD MY

LEAVE A REPLY