PETALING JAYA, DISEMBER 18: SERIK… Meskipun pernah beberapa kali gagal dalam percintaan dengan teman artis, situasi itu tidak membuatkan pelakon jelita, Uqasha Senrose serik.

Baginya, sama seperti insan lain, dia juga mendambakan kebahagiaan dan tidak mengelak sekiranya ditakdirkan jatuh cinta lagi dengan rakan industri.

“Saya berkawan dengan semua orang, tetapi dalam mencari persefahaman, mungkin hubungan sebelum ini hanya sesuai sebagai sahabat.

“Saya tidak pernah serik, malah tidak terfikir untuk mengelak daripada jatuh cinta sesama artis.

“Andai itu sudah ditakdirkan, saya terima kerana bukan senang menemui pasangan yang sesuai untuk membawa hubungan ke fasa seterusnya,” katanya.

Pelakon yang bakal muncul dalam sitkom, Spanar Jaya X itu berkata, dia berharap akan dipertemukan dengan lelaki yang ikhlas memberinya kebahagiaan hingga ke akhir hayat.

Ogos lalu, Uqasha kembali dikaitkan dengan isu percintaan sesama artis apabila dikatakan menjalin hubungan istimewa dengan pelakon, Ben Amir.

Menafikan percintaan mereka, Uqasha menegaskan, dia dan Ben hanya berkawan baik.

“Saya selesa berkawan dengannya. Memandangkan kami berdua berlakon dalam sitkom ini, ia memudahkan lagi kerjasama kami di lokasi penggambaran.

“Buat masa ini, kami lebih selesa sebagai kawan baik. Dalam soal berumah tangga, saya tidak mahu melalui situasi kahwin cerai.

“Bimbang apabila ada anak nanti, mereka terpaksa melalui situasi menyedihkan itu. Disebabkan itu, saya perlu mencari lelaki yang serasi demi masa depan,” katanya yang mengimpikan lelaki tinggi lampai dan bertubuh tegap.

Uqasha yang bakal menunaikan umrah bersama keluarga dan dua adiknya, Nelydia Senrose serta Raysha Rizrose pada 26 Disember ini mahu berdoa supaya segera dipertemukan jodoh.

“Agak gementar juga kerana ini pengalaman pertama saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Diikutkan, saya masih belum bersedia sepenuhnya untuk ke sana, tetapi pujukan mama dan adik membuka hati saya untuk ke Tanah Suci.

“Saya mahu berdoa dipertemukan jodoh, diberikan kesihatan yang baik dan ketenangan dalam hidup.

“Sebenarnya, sejak tahun lalu lagi, mama mengajak saya menunaikan umrah, tetapi jadual saya padat. Tahun ini, mereka minta saya kosongkan jadual pada akhir tahun supaya kami dapat bersama-sama ke sana,” katanya.

Tidak takut berdepan pandangan negatif netizen jika masih mengekalkan imej sama selepas pulang menunaikan umrah, Uqasha berkata, dia tidak boleh memuaskan hati dengan mengikut kehendak orang lain.

“Kalau saya risau apa orang akan cakap, lebih baik saya tidak pergi. Mereka boleh berkata apa saja, tetapi saya tidak mahu diri terpenjara hanya untuk memuaskan hati orang lain.

“Biarlah apa juga perubahan dilakukan nanti atas kemahuan diri, bukan kerana sebab lain. Saya tidak boleh halang orang terus bercakap mengenai saya,” katanya.-MY WD