MUKAH:USAH….Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib meminta agar tidak dibandingkan dengan bapanya, Tun Abdul Taib Mahmud yang juga Yang Di-Pertua Negeri Sarawak.

Namun, beliau bersyukur kerana bapanya yang berpengalaman luas dalam bidang politik dan kepemimpinan negeri banyak berkongsi pengalaman serta pengetahuan untuk membantunya nanti dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Parlimen Mukah jika memenangi kerusi berkenaan.

“Jangan bandingkan saya dengan ‘Ayahanda Tun’… tidak adil untuk membandingkan prestasi dan pencapaian antara kami berdua. Namun, saya bersyukur dan berbangga dapat meneruskan legasi kepemimpinannya.

“Ini satu tanggungjawab besar (apabila dipilih sebagai calon BN di Parlimen Mukah) bukan mudah mahu mengisi `kasut besar’ ini.

“Bagaimanapun, saya yakin mampu melaksanakannya atas izin Allah, selain sokongan akar umbi,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan borang pencalonannya di Dewan Suarah Mukah, di sini hari ini.

Hanifah yang juga anak bongsu Abdul Taib dan berpengalaman luas dalam bidang korporat turut menyifatkan dirinya sebagai ‘pemegang amanah’ apabila diumumkan sebagai calon muka baharu BN bagi kerusi berkenaan.

“Sebenarnya, ada juga naluri (mahu menjadi pemimpin), namun tidak terfikir pun akan dicalonkan bertanding (dalam pilihan raya). Ini semua ketentuan Tuhan. Namun, saya berjanji untuk memberikan yang terbaik untuk masa depan Mukah dan penduduknya,” katanya.

Beliau hadir di pusat penamaan calon dengan ditemani Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah yang turut bertindak sebagai pencadang manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo sebagai penyokong.

Hanifah yang menggantikan bekas penyandang kerusi itu selama tujuh penggal, Tan Sri Dr Muhammad Leo Toyad menghadapi calon PKR, Abdul Jalil Bujang.-MY WD