NEW YORK, 23 Sept – Bergantung Kepada Keputusan…… Malaysia mempunyai peluang untuk memindahkan banduan Malaysia di Kem Tahanan Teluk Guantanamo, Mohd Bashir Lap, bergantung kepada keputusan Lembaga Semakan Berkala Amerika Syarikat (AS), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan dimaklumkan Mohd Bashir mungkin boleh dipindahkan ke penjara di Malaysia tetapi dengan syarat perlu terus menjalani proses deradikalisasi atau pemulihan ideologi.

“Lembaga berkenaan memaklumkan, Mohd Bashir didapati sudah insaf dan mungkin boleh dipindahkan ke penjara di Malaysia dengan syarat terus mengikuti program deradikalisasi untuk memastikan dia bebas daripada ideologi pengganas.

“Mohd Bashir tidak boleh diekstradisi ke Malaysia kerana ditahan mengikut undang-undang tentera AS.

“Usaha memindahkan Mohd Bashir ke Malaysia bukan kerana ingin membawa masuk pengganas tetapi menunjukkan keberkesanan program deradikalisasi yang mencapai tahap 97.5 peratus dalam memulihkan ideologi pengganas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu Pesuruhjaya Khas AS Mengenai Penutupan Kem Tahanan Teluk Guantanamo, Lee Wolowsky, sempena Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-71 di sini, hari ini.

Mohd Bashir dan seorang lagi rakyat Malaysia, Mohd Fariq Amin, didakwa terbabit dalam gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI) pada awal tahun 2000.

Mereka dikatakan terbabit dalam insiden pengeboman Hotel JW Marriot di Jakarta, Indonesia pada tahun 2003 dan ditahan di Bangkok pada tahun yang sama.

Kedua-duanya ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo pada tahun 2006. – WD MY

LEAVE A REPLY