JELI, MEI 9: Usia 99 tahun tidak menjadi halangan untuk Fatimah Che Ngah keluar mengundi bersama anak dan cucunya di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah, di sini hari ini.

Dia yang tiba di pusat pengundian jam 8.30 pagi itu ditemani anaknya, Maimunah Che Dollah, 69, dan cucunya, Mohd Khairul Nizam Mohamad, 30, tidak pernah ketinggalan mengundi dan ini adalah kali ke-14.

“Mak cik minta semua anak dan cucu yang boleh mengundi keluar tunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU), mak cik tidak pernah ketinggalan pergi mengundi,” katanya.

Sementara itu, Maimunah berkata emaknya cukup bersemangat setiap kali pilihan raya.

“Malam tadi emak tidak dapat tidur kerana bimbang tidak tersedar untuk keluar mengundi.

“Selepas solat Subuh, dia sudah bersiap-siap untuk keluar mengundi, namun terpaksa tunggu kerana pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi,” katanya.

Mohd Khairul Nizam berkata dia kagum dengan semangat neneknya itu.

“Nenek minta semua cucunya yang layak mengundi, keluar menunaikan kewajipan masing-masing,” katanya.-MY WD