PUTRAJAYA, 12 Feb – USIR…..  Jabatan Imigresen sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan tegas termasuk pengusiran terhadap warga asing yang melakukan kesalahan berulang mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata hasil perkongsian maklumat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat warga asing di negara ini yang berulang kali melakukan kesalahan mengikut akta itu termasuk tiada lesen memandu dan cukai jalan, menggunakan dokumen palsu serta kesalahan trafik lain.

“Walaupun jumlah warga asing melakukan kesalahan ini rendah, tetapi kita tidak berkompromi dengan kes seperti ini.

“Tindakan pengusiran boleh dilakukan jika mereka terus-menerus melakukan kesalahan mengikut APJ 1987,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye.

Mustafar berkata, selain pekerja asing yang bekerja dengan majikan tempatan, kesalahan APJ juga turut membabitkan pelajar asing dan ekspatriat, malah ada kenderaan terbabit yang terpaksa disita.

Selain itu, beliau berkata, Jabatan Imigresen sudah menyenaraihitamkan majikan yang didapati pernah melakukan jenayah, selain kesalahan imigresen lain.

Katanya, melalui Sistem Maid Online (SMO), majikan yang memohon pembantu rumah asing (PRA) akan ditapis dengan teliti, membabitkan kerjasama polis.

“Mungkin majikan ini mempunyai pekerja asing sebelum ini, tetapi pekerja asing itu tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas, maka majikan perlu bertanggungjawab.

“Selain itu, majikan yang disenarai hitam juga membabitkan mereka yang terbabit dalam apa juga jenayah yang tidak memungkinkan mereka mengambil pekerja asing lagi, bukan hanya terhad kepada pembantu rumah,” katanya ketika menjawab isu berhubung pembantu rumah didera majikan, sehingga ada antara mereka meninggal dunia.

Sementara itu, Lam Thye berkata, MCPF akan melantik seorang pegawai imigresen dalam jawatankuasa Kelab Pencegahan Jenayah di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memberi pendedahan kepada warga IPT berhubung pencegahan jenayah.

Katanya, melalui pertemuan itu, MCPF mendapat gambaran jelas mengenai operasi Jabatan Imigresen, selain isu pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

“Kita harap dapat berkongsi maklumat dengan polis dan agensi kerajaan lain bagi memudahkan kita melakukan pelbagai program pendidikan,” katanya. – WD MY