AYER KEROH, 9 Mei – Dakwa…. Bekas pegawai khas Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 15 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram bernilai RM19.39 juta.

Datuk Mohd Yusof Abu Hassan, 56, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut empat pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dia didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM11.2 juta antara Februari hingga Ogos tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia berdepan hukuman maksimum 20 tahun penjara dengan sebatan dan denda.

Mohd Yusof turut menghadapi 11 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUA) 2001 (Akta 613) bernilai RM8.19 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mac hingga September tahun lalu di sekitar daerah Melaka Tengah.

Bagi tuduhan itu, dia berdepan hukuman maksimum 15 tahun penjara dan denda tidak kurang lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afzainizam Abdul Aziz, mencadangkan jaminan RM3 juta dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Azrul Zulkifli Stork, memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya menanggung seorang isteri, lapan anak yang masih belajar, ibu yang uzur serta menjadi tulang belakang keluarga.

Mahkamah membenarkan jaminan RM1.6 juta dengan seorang penjamin manakala pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, termasuk syarat tambahan melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM.

Hakim menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. -WD MY