KUALA LUMPUR, FEB 4:  Pendakwah terkenal, Ustaz Ahmad Husam Baderudin hari ini memohon maaf secara peribadi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana terlalu percaya terhadap fitnah yang dilemparkan kepada beliau sebelum ini.

Ahmad Husam dalam permohonan maaf yang dilakukan secara langsung dalam akaun Facebook milik beliau itu turut membawa hasrat masyarakat yang beliau temui mahu memohon maaf kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

“Datuk seri saya minta maaf apa yang saya percaya dahulu dan mungkin ada lagi seingat saya pernah berucap di hadapan awam mungkin sedikit sebanyak mencalarkan imej datuk seri pada waktu itu.

“Mungkin saya tak dapat nak sebut satu persatu datuk seri, sebab banyak, ada yang jumpa saya di ceramah, ada yang menangis minta saya sampaikan permohonan maaf mereka kepada datuk seri,” katanya semalam.

Sebelum ini, Ahmad Husam dalam laman sosial pernah mengeluarkan kenyataan mengkritik polisi kerajaan terdahulu dan pernah menggesa rakyat untuk menukar pemimpin baharu dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Najib dalam reaksinya terhadap permohonan maaf itu berkata, beliau menerima kemaafan yang dipinta oleh Ahmad Husam termasuk seluruh rakyat Malaysia.

“Saya ucap terima kasih kepada ustaz kerana begitu ikhlas dan Allah telah membuka hati ustaz berjumpa dengan saya.

“Saya dengan senang hati dan hati terbuka menerima kemaafan ustaz kerana saya faham kita manusia biasa terdedah kepada macam-macam fitnah,” katanya.-MY WD