BUTTERWORTH, 18 Nov – Bawa Usul……Kelemahan dan kecacatan kerajaan DAP Pulau
Pinang selama lapan tahun mentadbir negeri, merupakan isu dibangkitkan UMNO
Pulau Pinang pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman
berkata perkara itu perlu dikongsi dengan perwakilan UMNO seluruh negara untuk
dijadikan iktibar daripada pengalaman rakyat Pulau Pinang.
“Banyak isu-isu di Pulau Pinang ini yang perlu kita kongsi antaranya
kepentingan rakyat dan bumiputera dalam bidang perumahan, ekonomi, kebajikan,
sosial dan alam sekitar. Isu-isu ini…tidak diberi keutamaan langsung (oleh
kerajaan negeri pimpinan DAP),” katanya.
Tumpuan turut diberikan kepada persiapan UMNO Pulau Pinang menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
UMNO Pulau Pinang diwakili Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir bagi membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya (usul agama) dan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk Ir Shaik Hussein Mydin (usul ekonomi).
Ditanya mengenai apa yang diharapkan UMNO Pulau Pinang pada perhimpunan kali
ini, beliau berkata pihaknya mengharapkan perhimpunan itu dapat memberi suntikan
semangat baharu kepada semua anggota parti untuk memantap dan memperkuat jentera
menghadapi PRU14.
Bagi menghadapi pelbagai cabaran termasuk penubuhan Parti Peribumi Bersatu
Malaysia (PPBM), Zainal Abidin menyeru semua anggota parti untuk terus setia dan
jujur pada perjuangan parti yang banyak berjasa kepada mereka. – WD MY