KUALA LUMPUR, 10 Mac – PEMBENTANGAN….  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usul persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentang untuk dibahas dan diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Katanya, tarikh sebenar pembentangan usul itu akan ditentukan kemudian selepas perbincangan antara beliau selaku Ketua Wip, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Ketua Majlis Parlimen dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Pembentangan usul persempadanan semula akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk diperbahaskan dan pengundian akan dijalankan sama ada pengundian secara belah bahagi atau kaedah suara.

“Tarikh untuk pembentangan usul berkenaan belum ditentukan kerana terdapat perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat dan selepas itu ada jawapan oleh menteri-menteri diikuti pembentangan akta-akta yang baharu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) kali ke-25 hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semalam yang menyerahkan laporan akhir kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri-negeri Tanah Melayu kepada perdana menteri.

Dalam satu kenyataan semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata urusan kajian semula tersebut selesai dijalankan, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 113(10) Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan penyerahan laporan akhir ini, bermakna tugas dan tanggungjawab SPR dalam melaksanakan urusan persempadanan semula ini selesai sepertimana ditetapkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini, SPR membuat kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang dicabar banyak pihak di mahkamah yang akhirnya memihak kepada suruhanjaya itu.

SPR juga telah menjalankan sesi pendengaran awam bagi mendengar bantahan orang ramai terhadap syor-syornya dalam kajian semula itu.

Persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin lepas ketika ini sedang membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Persidangan itu yang dijadual berlangsung sehingga 5 April depan adalah yang terakhir bagi penggal kali ini sebelum pilihan raya umum ke-14. – WD MY