MUAR, 7 Okt – Utamakan Sukan Rakyat….. Pelbagai Sukan rakyat dan tradisi seperti sepak raga, galah panjang dan konda kondi tidak sewajarnya dilupakan kerana ia masih boleh memainkan peranan dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata sukan rakyat ini sangat penting kerana ia membabitkan banyak elemen yang akan mempengaruhi gaya hidup dan identiti seseorang individu.

“Dalam kita memberi tumpuan kepada sukan moden pada hari ini, kita tidak sewajarnya melupakan sukan tradisi atau sukan rakyat kerana ia adalah medium terbaik ke arah memupuk semangat kebersatuan dalam masyarakat.

“Pada masa lalu, permainan dan sukan rakyat ini juga turut berperanan sebagai ejen permuafakatan di samping memberi pendidikan secara tidak formal seperti mengasah kemahiran, memasang strategi dan semangat berpasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Sukan Rakyat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Balang Darat dan Sarang Buaya di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Yusof di sini, hari ini.

Pada program itu, Razali yang juga Ahli Parlimen Muar turut mengambil bahagian bersama penduduk kampung menyertai pertandingan bola sepak berkain batik dan beberapa acara sukan rakyat lain yang turut diadakan pada program selama sehari ini. – WD MY

LEAVE A REPLY