SEREMBAN, 7 Sept – DIBUKA…… MB Negeri Sembilan memaklumkan bahawa Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang pertama di negeri ini dijangka memulakan operasinya di Plaza Angsana, Ampangan, di sini, awal tahun depan.

Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata bangunan itu sedang diubah suai dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Katanya, UTC itu dibina di Ampangan berikutan lokasinya strategik sekali gus memudahkan orang ramai berurusan.

“Bangunan ini akan menempatkan pelbagai pejabat jabatan dan agensi kerajaan yang membolehkan penduduk mendapatkan perkhidmatan awam dengan mudah secara berpusat di satu lokasi,” katanya.

Mohamad berkata, projek kerajaan persekutuan itu sebahagian pelan transformasi negara (UTP) bagi kemudahan bersama.

Sementara itu, beliau berkata Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Rembau, dekat sini, yang dibuka tahun lalu, menerima sambutan menggalakkan orang ramai, malah ada yang datang dari Melaka untuk berurusan.

Katanya, sehubungan itu kerajaan negeri merancang membina RTC kedua di Serting, Jempol, dekat sini tidak lama lagi.

“Jelas sekali RTC ini memudahkan penduduk untuk berurusan tanpa perlu datang ke Seremban,” katanya. – WD MY