PUTRAJAYA, 1 April – Lancarkan…. Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini melancarkan program Sukarelawan Untuk Putrajaya atau V4Putrajaya, satu inisiatif menyemai semangat kesukarelawan di kalangan komuniti dan belia setempat.

Beliau berkata antara lain, program yang disertai 1,700 peserta itu juga bertujuan memperbanyakkan aktiviti dan penyertaan sukarelawan dalam menjaga
kebersihan serta memelihara persekitaran, selain memupuk semangat kerja berpasukan di kalangan mereka yang berlainan latar belakang.

Melalui V4Putrajaya, beliau yakin semangat cintakan kebersihan, kerja berpasukan dan menjalin silaturahim yang dilihat sedikit pudar dapat dikukuhkan semula terutamanya di kalangan generasi muda.

“Program ini akan pupuk semangat agar rakyat dapat bersama-sama kerajaan
daripada hanya menyalahkan kerajaan, kementerian atau agensi di bawahnya atas
apa yang berlaku di kawasan kediaman masing-masing, khususnya dalam aspek
penjagaan kebersihan,” katanya kepada media selepas melancarkan program itu
di sini hari ini.

Tengku Adnan, yang juga anggota Parlimen Putrajaya berkata V4Putrajaya
memberi peluang kepada pesertanya untuk melakukan kerja-kerja pengindahan
kawasan kediaman mengikut zon yang ditetapkan dengan diterajui Majlis Perwakilan
Penduduk Putrajaya.

Program hari ini, sukarelawan terbabit akan melakukan aktiviti mengecat, menaik taraf landskap serta gotong-royong kebersihan melibatkan kawasan Presint 8 hingga Presint 10. – WD MY